Sabtu, 27 Februari 2010

Majlis Pembangunan Pertanian Perlu Aktif


MUAR 27 Nov. - Majlis Pembangunan Pertanian di setiap kawasan Parlimen perlu mengerakkan pelbagai aktiviti secara lebih aktif supaya segala insentif dan subsidi yang disalurkan kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, majlis itu perlu menganjurkan seminar dan pameran yang boleh memberi kesedaran kepada petani, penternak dan nelayan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang dan bantuan yang diberikan.
Menurutnya lagi, usaha itu juga dapat memantapkan lagi kerjasama antara golongan petani dengan agensi kerajaan yang terlibat sekali gus mencapai matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pertanian negara.
"Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk membangunkan sektor pertanian dan sebanyak RM62 juta daripadanya adalah insentif untuk membantu golongan sasaran berkenaan.
"Saya amat berharap Majlis Pembangunan Pertanian yang dibentuk di setiap kawasan Parlimen dapat mengadakan program penerangan supaya golongan yang terlibat dapat mengetahui pelbagai insentif dan subsidi yang kerajaan sediakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama golongan tani di kawasan Parlimen Bakri di Kampung Parit Tengah, Batu 18, Air Hitam di sini kelmarin.
Pada majlis yang diadakan di kediaman Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bakri, Datuk Saipolbahari Suib itu, Noh turut menyampaikan sumbangan sebanyak lima ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha kepada penduduk di kawasan tersebut.
Menurut Noh, kerajaan mahu meningkatkan pendapatan golongan tani di samping menarik lebih ramai golongan muda terlibat dalam sektor itu.
"Zaman sekarang bukannya zaman petani memakai baju lusuh compang-camping, sebaliknya zaman golongan petani yang moden dan menggunakan teknologi serta jentera pertanian terkini," katanya.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, semangat 1Malaysia perlu dijadikan keutamaan ahli UMNO di semua peringkat bahagian dan cawangan dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Dengan mengambil Semangat 1Malaysia, kita perlu amanah dan adil untuk membantu setiap orang tanpa mengira kaum dan memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan