Isnin, 24 Mei 2010

Persepsi makan Daging Kambing penyebab Penyakit Berbahaya perlu Diubah.

Persepsi Makan Daging Kambing Penyebab Penyakit Berbahaya Perlu Diubah - Noh

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Persepsi orang ramai terhadap daging kambing perlu diubah kerana amalan memakan daging itu bukan penyebab utama penyakit berbahaya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kajian membuktikan daging kambing mempunyai kandungan kolestrol, kalori dan lemak paling rendah berbanding sumber daging lain.

Justeru itu, katanya, kementerian akan menjalankan kajian bersama Kementerian Kesihatan bagi meyakinkan orang ramai bahawa memakan daging kambing tidak menjadi sebab utama penyakit seperti darah tinggi.

"Selain itu sebuah pasukan petugas khas akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan promosi pemakanan daging kambing tempatan sekali gus mengikis stigma negatif mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan promosi daging kambing keluaran tempatan di sini pada Isnin.

Noh berkata promosi juga akan diperluaskan meliputi tempat-tempat tumpuan pelancong khususnya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur iaitu di kawasan tumpuan pelancong Timur Tengah yang mana daging kambing antara makanan utama mereka.

Selain persepsi negatif orang ramai, Noh berkata langkah lain turut diambil bagi meningkatkan pemasaran daging kambing tempatan berikutan rungutan penternak kambing bahawa pengeluaran lebih tinggi daripada permintaan.

"Jabatan Veterinar akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuka lebih banyak gerai menjual daging kambing terutama di pasar tani seluruh negara.

"Pelbagai program juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan ke atas daging kambing import dari negara luar," katanya.

Sabtu, 27 Februari 2010

Majlis Pembangunan Pertanian Perlu Aktif


MUAR 27 Nov. - Majlis Pembangunan Pertanian di setiap kawasan Parlimen perlu mengerakkan pelbagai aktiviti secara lebih aktif supaya segala insentif dan subsidi yang disalurkan kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, majlis itu perlu menganjurkan seminar dan pameran yang boleh memberi kesedaran kepada petani, penternak dan nelayan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang dan bantuan yang diberikan.
Menurutnya lagi, usaha itu juga dapat memantapkan lagi kerjasama antara golongan petani dengan agensi kerajaan yang terlibat sekali gus mencapai matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pertanian negara.
"Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk membangunkan sektor pertanian dan sebanyak RM62 juta daripadanya adalah insentif untuk membantu golongan sasaran berkenaan.
"Saya amat berharap Majlis Pembangunan Pertanian yang dibentuk di setiap kawasan Parlimen dapat mengadakan program penerangan supaya golongan yang terlibat dapat mengetahui pelbagai insentif dan subsidi yang kerajaan sediakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama golongan tani di kawasan Parlimen Bakri di Kampung Parit Tengah, Batu 18, Air Hitam di sini kelmarin.
Pada majlis yang diadakan di kediaman Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bakri, Datuk Saipolbahari Suib itu, Noh turut menyampaikan sumbangan sebanyak lima ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha kepada penduduk di kawasan tersebut.
Menurut Noh, kerajaan mahu meningkatkan pendapatan golongan tani di samping menarik lebih ramai golongan muda terlibat dalam sektor itu.
"Zaman sekarang bukannya zaman petani memakai baju lusuh compang-camping, sebaliknya zaman golongan petani yang moden dan menggunakan teknologi serta jentera pertanian terkini," katanya.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, semangat 1Malaysia perlu dijadikan keutamaan ahli UMNO di semua peringkat bahagian dan cawangan dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Dengan mengambil Semangat 1Malaysia, kita perlu amanah dan adil untuk membantu setiap orang tanpa mengira kaum dan memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Perasmian Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) 222 Kawasan Parlimen di PWTC

Dengan Prinsip 1 MALAYSIA, ‘RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’, kerajaan telah bersetuju menubuhkan Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) di semua 222 kawasan parlimen bagi mengukuhkan pelaksaan pembangunan industri pertanian Negara hingga ke akar umbi dan meningkatkan pendapatan petani serta mengurangkan kadar kemiskinan. Matlamat utama penubuhan MPPP adalah untuk mendapatkan idea-idea berhubung pelaksaan projek pertanian di kawasan Parlimen dengan mengambil kira sumber sedia ada. Mengenal pasti permasalahan yang timbul di peringkat Parlimen mengenai pertanian, memaklumkan kepada semua pihak akan peluang-peluang perniagaan dalam sektor pertanian dan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan sebagai forum untuk berbincang memperkasakan pembangunan industri pertanian Negara. Kerajaan telah melantik wakil-wakil masyarakat setempat sebagai pemimpin dan Pengerusi MPPP yang dilantik adalah sebagai wakil sebagai wakil kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam program menyelaras program pembangunan pertanian di setiap kawasan. Menurut Dato’ Noh Omar pada peringkat awal sebanyak RM 100,000.00 akan diperuntukan untuk MPPP dan diagihkan melalui empat agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan bertindak sebagai urusetia bagi setiap kawasan Parlimen. Bagaimanapun semua peruntukan hanya diluluskan dengan persetujuan Pengerusi MPPP. Agensi urusetia untuk MPPP ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi Semenanjung dan Sabah, Lembaga Pemasaran Petanian Persekutuan (FAMA) sebagai peneraju di Sarawak, TEKUN NASIONAL bagi kawasan Parlimen di Bandar-bandar utama dan KADA serta MADA bagi kawasan Parlimen dibawahnya. Pengerusi MPPP dan anggotanya antara lain bertanggungjawab untuk mengenalpasti projek-projek yang sesuai dibangunkan di kawasan Parlimen berkenaan, menyalurkan bantuan yang perlu serta membantu meningkatkan produktiviti pertanian dalam negara.